Friday 30 December 2011

Masa Untuk Belajar

Apa yang harus dilakukan selepas memiliki sebuah kamera DSLR? Adakah pemilik kamera DSLR akan terus mahir menggunakannya tanpa perlu belajar? Bagaimana dan dengan siapa kita boleh belajar menggunakan kamera DSLR?

Sesiapa sahaja akan memikirkan soalan-soalan di atas sebaik sahaja membeli kamera DSLR. Kita pasti mahu menjadi pengguna kamera DSLR yang mahir. Adalah satu kerugian jika membeli kamera yang nilainya beribu ringgit tetapi tidak mahir menggunakannya. Kamera DSLR adalah sebuah kamera yang kompleks yang mempunyai pelbagai tetapan. Agak mustahil untuk kita mahir menggunakannya dengan belajar sendiri.

Kursus atau bengkel asas fotografi adalah cara terbaik untuk kita belajar mengenai asas fotografi dan teknik yang betul untuk menggunakan kamera DSLR. Selain daripada itu kita juga boleh belajar menerusi internet dan dengan membaca buku mengenai fotografi.

Saya tidak mempunyai ramai kawan yang mempunyai minat dalam fotografi sebaliknya isteri saya mempunyai ramai kawan yang terlibat di dalam bidang fotografi. Saya amat mengagumi salah seorang daripada mereka iaitu Ezad Hafidz yang juga dikenali sebagai Ejad Fotopoyo. Saya berhasrat untuk menjadikan beliau sebagai mentor dan guru. Perkara pertama yang disuruhnya adalah membaca blognya iaitu Journey to the Poyoland. Kini saya adalah salah seorang dari pengikut blog ini. Blog beliau memang bagus untuk sesiapa yang baru menjinakkan diri di dalam bidang fotografi dan saya mengesyorkan anda untuk menjadi pengikut blog ini. Pelbagai ilmu fotografi dapat kita pelajari di blog ini sama ada yang asas atau pertengahan dan advanced. Bahasa yang digunakan di dalam blog ini juga amat mudah untuk difahami. Bagi anda yang meminati fotografi sila lawati blog ini.

Husni
Foto Izzaim

Saturday 24 December 2011

Jurugambar Profesional & Jurugambar Amatur

Siapakah jurugambar profesional? Siapakah pula jurugambar amatur? Pelbagai takrifan yang berbeza diberikan kepada dua gelaran jurugambar ini. Ada yang menganggap jurugambar profesional adalah seorang jurugambar yang berpengalaman dan pakar dalam fotografi. Jurugambar amatur pula selalu dianggap sebagai jurugambar yang tidak berpengalaman dan kurang mahir.

Takrifan di atas adalah benar tetapi adakah kita pasti bahawa jurugambar profesional adalah lebih bagus daripada jurugambar amatur . Di sini saya ingin mengulas serba sedikit mengenai jurugambar profesional dan jurugambar amatur.

Saya mentakrifkan jurugambar profesional sebagai seseorang yang bekerja sebagai jurugambar sepenuh masa. Jurugambar profesional mungkin adalah seorang jurugambar bagi sesebuah syarikat akhbar, syarikat pengiklanan atau mungkin juga seseorang yang bekerja sendiri dengan menawarkan perkhidmatan fotografi untuk pelbagai majlis dan acara.

Jurugambar amatur pula saya takrifkan sebagai seseorang yang tidak terlibat di dalam bidang fotografi sepenuh masa. Jurugambar amatur mempunyai pekerjaan tetap selain daripada jurugambar. Mereka mungkin bekerja separuh masa sebagai jurugambar atau mungkin juga hanya menjadikan fotografi sebagai hobi.

Berdasarkan takrifan saya di atas, saya menyangkal pendapat bahawa jurugambar sepenuh masa pasti lebih bagus daripada jurugambar separuh masa. Di Malaysia ramai jurugambar yang bagus adalah jurugambar amatur yang bekerja separuh masa sebagai jurugambar. Kemahiran seseorang jurugambar separuh masa adalah setanding dengan jurugambar sepenuh masa.

Perbezaan yang ingin saya tekankan adalah jurugambar profesional adalah jurugambar sepenuh masa dan jurugambar amatur pula adalah jurugambar separuh masa.


Takrifan saya ini adalah pendapat saya sendiri dan pengetahuan saya berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Terpulanglah kepada diri kita bagaimana untuk mentakrifkannya.

Husni
Foto Izzaim

Friday 23 December 2011

Siapakah Jurugambar?

Jurugambar, jurufoto, tukang ambil gambar atau dalam Bahasa Inggerisnya photographer atau cameraman adalah gelaran atau panggilan yang membawa maksud yang sama. Apakah maksud sebenar jurugambar? Siapakah yang layak dipanggil jurugambar?

Mengikut Wikipedia, jurugambar adalah seseorang yang mengambil gambar. Ini bermakna sesiapa sahaja yang mengambil gambar adalah jurugambar. Seseorang yang menjadikan fotografi sebagai hobi juga adalah jurugambar. Ini kerana bidang fotografi adalah luas dan mereka tidak semestinya seorang jurugambar profesional. Tidak salah bagi sesiapa yang mengaku dirinya adalah jurugambar sekiranya dia memiliki kamera. Tidak kira sama ada menggunakan kamera entry level atau high-end, mereka semuanya adalah jurugambar.

Jurugambar boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan yang utama adalah:

i. Jurugambar Profesional
ii. Jurugambar Amatur


Apakah perbezaan Jurugambar Profesional dan Jurugambar Amatur? Saya akan jelaskan di dalam entry akan datang.

Husni
Foto Izzaim

Thursday 22 December 2011

Saya Adalah Jurugambar

Pada 18.6.2011 saya memiliki kamera DSLR sendiri. Pada hari tersebut jugalah saya "melantik" diri saya sebagai Jurugambar. Saya sedar bahawa saya bukanlah seorang jurugambar profesional tetapi saya merasakan saya layak untuk menjadi jurugambar amatur. Kalau ada rezeki mungkin saya boleh menjadi jurugambar untuk sesuatu majlis.

Adakah dengan mempunyai kamera sendiri saya layak dipanggil jurugambar? Perkara ini akan saya ulas di dalam entry yang akan datang.

Husni
Foto Izzaim

Wednesday 14 December 2011

Diriku & Kamera (Bah. II)

Sesiapa yang mahu membeli kamera DSLR pasti dilema untuk memilih jenama kamera dan biasanya jenama Nikon dan Canon akan disenarai pendek sebelum keputusan akhir dibuat. Saya tidak mengatakan jenama lain tidak bagus tetapi saya berpendapat dua jenama ini adalah jenama yang selalu menjadi pilihan jurugambar profesional.


Bagi saya walaupun Nikon tidak popular seperti Canon di kalangan pengguna kamera, ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk memilih Nikon. Mungkin teknologi Canon lebih maju dari Nikon tetapi saya telah jatuh hati dengan Nikon dan keputusan saya bulat untuk membeli kamera DSLR Nikon.


Pada mulanya saya hanya ingin membeli Nikon D3100, tetapi selepas mencuba sendiri kamera tersebut dan membandingkannya dengan Nikon D90 saya merasakan bahawa model D90 adalah kamera yang patut saya beli jika saya mahu betul-betul serius di dalam bidang fotografi.

Sebelum saya membeli kamera DSLR saya telah membuat tinjauan harga dan cara yang mudah adalah menerusi internet. Bagaimanapun saya lebih selesa untuk membeli di kedai yang betul-betul wujud dan bukannya kedai yang hanya beroperasi di atas talian. Ini penting untuk mengelakkan penipuan dan untuk melihat sendiri barang yang ingin dibeli. Dari tinjaun yang dibuat saya telah mengenal pasti kedai yang menjual kamera DSLR dengan harga yang berpatutan. Kedai tersebut terletak di Shah Alam.

Hari yang dinanti-nantikan telah tiba, kamera DSLR akan saya miliki. 18.06.2011 adalah tarikh yang bermakna bagi diri saya kerana pada hari itu saya memiliki "buah hati" yang baru iaitu Nikon D7000. Saya tidak terus pergi ke kedai yang terletak di Shah Alam itu tetapi saya pergi ke kedai Foto Selangor di Pertama Complex terlebih dahulu untuk meninjau harga di situ. Apabila sampai di Foto Selangor saya mencuba model D90 dan model D7000. Saya memang mahu membeli model D90 tetapi saya membuat pilihan untuk membeli model D7000 di situ kerana harganya agak berpatutan. Saya juga membeli speedlight Nikon SB-700.

Inilah gambar pertama yang saya ambil menggunakan kamera yang baru saya miliki.

Walaupun saya belum mahir menggunakan DSLR, tetapi perasaan ingin mencuba kamera yang baru dibeli tidak dapat ditahan. Sebaik sahaja saya kami meninggalkan Foto Selangor saya terus mencari tempat untuk saya mengambil gambar dan saya dan isteri memilih ASEAN Sculpture Garden yang terletak berhampiran dengan tugu negara. Semestinya isteri sayalah yang menjadi model.

Model tidak bergaji semestinya isteriku.
Belum pandai ambil gambar yang cantik. Tetapi tidak salah mencuba.

Saya amat gembira kerana impian saya kini telah menjadi kenyataan. Saya juga merasakan saya membuat pilihan yang tepat dengan membeli Nikon D7000. Saya selesa menggunakan DSLR Nikon dan saya amat berpuas hati dengan gambar yang diambil menggunakannya. Membeli Nikon D7000 adalah satu keputusan yang tepat.


Inilah hasil "tangkapan" hari tersebut.

Nikon D7000 telah saya miliki, kini saya perlu belajar untuk memahirkan diri menggunakannya dan mendalami ilmu fotografi.

Nota: Gambar-gambar di atas diambil pada hari pertama kamera dibeli dan sudah pasti ia kurang cantik dan kurang menarik.

Husni
Foto Izzaim

Tuesday 13 December 2011

Diriku & Kamera (Bah. I)

Semasa saya kecil, kamera bukanlah satu benda yang penting dalam hidup saya. Seingat saya mungkin semasa saya berumur 11 atau 12 tahun kakak saya membeli kamera dan sejak itu barulah keluarga saya dapat mengambil gambar setelah sekian lama tidak mempunyai kamera. Pada zaman itu kamera bukanlah satu keperluan dan bukan juga kehendak yang mendesak. Harga kamera yang mahal dan kos yang agak tinggi untuk mencetak gambar mungkin faktor utama yang menyebabkan kami sekeluarga tidak merasa kami patut memiliki kamera. Tambah pula orang dulu-dulu malu untuk bergambar.

Berbeza dengan zaman sekarang kamera adalah antara gadjet yang penting dalam kehidupan kita seharian. Kemajuan teknologi juga memudahkan kita untuk mengambil gambar kerana boleh dikatakan setiap orang mempunyai telefon bimbit dan hampir semua telefon bimbit dilengkapi dengan kamera.

Saya pula seorang yang agak ketinggalan dalam memiliki gadjet yang terbaru, tambah pula semasa belajar dan sebelum mempunyai pekerjaan tetap. Saya mempunyai telefon bimbit yang dilengkapi dengan kamera hanya selepas berkahwin yang mana telefon bimbit itu adalah salah satu daripada barang hantaran perkahwinan saya.
Inilah telefon bimbit pertamaku yang mempunyai kamera. Hasil dari kamera Sony Ericsson Vivaz Pro ini biasanya memuaskan.



Saya sememangnya ingin sangat untuk memiliki kamera terutamanya DSLR tetapi disebabkan ada komitmen lain yang lebih penting, maka saya menangguhkan hasrat tersebut. Saya juga tidak terdesak untuk membeli kamera kerana saya selalu menggunakan kamera orang lain untuk mengambil gambar terutamanya kamera pink isteri saya.
Inilah kamera pink kesayangan milik isteri saya. Cantik bukan?

Minat terhadap kamera bermula semasa saya menjalani Latihan Industri di MASkargo. Saya dan kawan saya Abdul Jabbar ditempatkan di Bahagian Komunikasi Korporat yang selalu terlibat dengan pelbagai acara rasmi MASkargo dan kami selalu dapat menggunakan kamera yang agak canggih berjenama Sony. Sejak itu minat terhadap kamera semakin mendalam dan saya berazam untuk memiliki DSLR satu hari nanti.


Nota: 13.12.11 - cantik tarikh hari ini

Husni
Foto Izzaim

Bersambung...

Monday 12 December 2011

Selamat Datang Ke Foto Izzaim!

Assalamualaikum dan Selamat Datang Ke Foto Izzaim! Blog Foto Izzaim ini diwujudkan sebagai satu landasan untuk saya berkongsi minat saya di dalam fotografi dengan anda semua. Semoga kewujudan blog ini akan dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Diharapkan juga kita dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi ilmu fotografi. Salam...

Husni
Foto Izzaim