Wednesday 14 December 2011

Diriku & Kamera (Bah. II)

Sesiapa yang mahu membeli kamera DSLR pasti dilema untuk memilih jenama kamera dan biasanya jenama Nikon dan Canon akan disenarai pendek sebelum keputusan akhir dibuat. Saya tidak mengatakan jenama lain tidak bagus tetapi saya berpendapat dua jenama ini adalah jenama yang selalu menjadi pilihan jurugambar profesional.


Bagi saya walaupun Nikon tidak popular seperti Canon di kalangan pengguna kamera, ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk memilih Nikon. Mungkin teknologi Canon lebih maju dari Nikon tetapi saya telah jatuh hati dengan Nikon dan keputusan saya bulat untuk membeli kamera DSLR Nikon.


Pada mulanya saya hanya ingin membeli Nikon D3100, tetapi selepas mencuba sendiri kamera tersebut dan membandingkannya dengan Nikon D90 saya merasakan bahawa model D90 adalah kamera yang patut saya beli jika saya mahu betul-betul serius di dalam bidang fotografi.

Sebelum saya membeli kamera DSLR saya telah membuat tinjauan harga dan cara yang mudah adalah menerusi internet. Bagaimanapun saya lebih selesa untuk membeli di kedai yang betul-betul wujud dan bukannya kedai yang hanya beroperasi di atas talian. Ini penting untuk mengelakkan penipuan dan untuk melihat sendiri barang yang ingin dibeli. Dari tinjaun yang dibuat saya telah mengenal pasti kedai yang menjual kamera DSLR dengan harga yang berpatutan. Kedai tersebut terletak di Shah Alam.

Hari yang dinanti-nantikan telah tiba, kamera DSLR akan saya miliki. 18.06.2011 adalah tarikh yang bermakna bagi diri saya kerana pada hari itu saya memiliki "buah hati" yang baru iaitu Nikon D7000. Saya tidak terus pergi ke kedai yang terletak di Shah Alam itu tetapi saya pergi ke kedai Foto Selangor di Pertama Complex terlebih dahulu untuk meninjau harga di situ. Apabila sampai di Foto Selangor saya mencuba model D90 dan model D7000. Saya memang mahu membeli model D90 tetapi saya membuat pilihan untuk membeli model D7000 di situ kerana harganya agak berpatutan. Saya juga membeli speedlight Nikon SB-700.

Inilah gambar pertama yang saya ambil menggunakan kamera yang baru saya miliki.

Walaupun saya belum mahir menggunakan DSLR, tetapi perasaan ingin mencuba kamera yang baru dibeli tidak dapat ditahan. Sebaik sahaja saya kami meninggalkan Foto Selangor saya terus mencari tempat untuk saya mengambil gambar dan saya dan isteri memilih ASEAN Sculpture Garden yang terletak berhampiran dengan tugu negara. Semestinya isteri sayalah yang menjadi model.

Model tidak bergaji semestinya isteriku.
Belum pandai ambil gambar yang cantik. Tetapi tidak salah mencuba.

Saya amat gembira kerana impian saya kini telah menjadi kenyataan. Saya juga merasakan saya membuat pilihan yang tepat dengan membeli Nikon D7000. Saya selesa menggunakan DSLR Nikon dan saya amat berpuas hati dengan gambar yang diambil menggunakannya. Membeli Nikon D7000 adalah satu keputusan yang tepat.


Inilah hasil "tangkapan" hari tersebut.

Nikon D7000 telah saya miliki, kini saya perlu belajar untuk memahirkan diri menggunakannya dan mendalami ilmu fotografi.

Nota: Gambar-gambar di atas diambil pada hari pertama kamera dibeli dan sudah pasti ia kurang cantik dan kurang menarik.

Husni
Foto Izzaim

4 comments: