Saturday 24 December 2011

Jurugambar Profesional & Jurugambar Amatur

Siapakah jurugambar profesional? Siapakah pula jurugambar amatur? Pelbagai takrifan yang berbeza diberikan kepada dua gelaran jurugambar ini. Ada yang menganggap jurugambar profesional adalah seorang jurugambar yang berpengalaman dan pakar dalam fotografi. Jurugambar amatur pula selalu dianggap sebagai jurugambar yang tidak berpengalaman dan kurang mahir.

Takrifan di atas adalah benar tetapi adakah kita pasti bahawa jurugambar profesional adalah lebih bagus daripada jurugambar amatur . Di sini saya ingin mengulas serba sedikit mengenai jurugambar profesional dan jurugambar amatur.

Saya mentakrifkan jurugambar profesional sebagai seseorang yang bekerja sebagai jurugambar sepenuh masa. Jurugambar profesional mungkin adalah seorang jurugambar bagi sesebuah syarikat akhbar, syarikat pengiklanan atau mungkin juga seseorang yang bekerja sendiri dengan menawarkan perkhidmatan fotografi untuk pelbagai majlis dan acara.

Jurugambar amatur pula saya takrifkan sebagai seseorang yang tidak terlibat di dalam bidang fotografi sepenuh masa. Jurugambar amatur mempunyai pekerjaan tetap selain daripada jurugambar. Mereka mungkin bekerja separuh masa sebagai jurugambar atau mungkin juga hanya menjadikan fotografi sebagai hobi.

Berdasarkan takrifan saya di atas, saya menyangkal pendapat bahawa jurugambar sepenuh masa pasti lebih bagus daripada jurugambar separuh masa. Di Malaysia ramai jurugambar yang bagus adalah jurugambar amatur yang bekerja separuh masa sebagai jurugambar. Kemahiran seseorang jurugambar separuh masa adalah setanding dengan jurugambar sepenuh masa.

Perbezaan yang ingin saya tekankan adalah jurugambar profesional adalah jurugambar sepenuh masa dan jurugambar amatur pula adalah jurugambar separuh masa.


Takrifan saya ini adalah pendapat saya sendiri dan pengetahuan saya berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Terpulanglah kepada diri kita bagaimana untuk mentakrifkannya.

Husni
Foto Izzaim

No comments:

Post a Comment